Thursday, March 12, 2009

KEMANA ANDA SEKARANG


Kita sekarang dihidupkan oleh Allah, di bumi Allah dan di dalam zaman yang Allah tentukan. Selepas itu kita akan dikembalikan, sama ada disedari atau tidak ke salah satu daripada dua negeri yang kekal abadi iaitu syurga atau neraka.

Sekarang kita sedang berjalan ke destinasi yang kita sendiri pilih - syurga atau neraka. Allah menyediakan dua jalan untuk kita pilih. Terpulanglah kepada kita untuk memilih sama ada jejak ke syurga atau jejak ke neraka.

Namun begitu, Allah sudah memberitahu kita di dalam Al-Quran, tentang betapa nikmatnya kehidupan dan pengalaman manis di syurga. Begitu juga dijelaskan betapa azabnya kehidupan dan pengalaman ngeri di neraka. Nabi Muhammad saw. juga menguatkan lagi melalui hadith-hadithnya yang masih segar dibaca dan didengar hingga ke hari ini.

Sebagai makhluk yang diberikan kesempurnaan akal fikiran, manusia boleh berfikir kesan dan risiko yang bakal diterima akibat dari sesuatu tindakannya. Setiap sesuatu itu ada sebab-musababnya. Allah masukkan seseorang ke syurga kerana dalam hidupnya di dunia ini, dia memilih jalan ke syurga. Begitu juga Allah masukkan seseorang itu ke neraka kerana dalam hidupnya dia sengaja memilih jalan ke neraka. Terpulang kepada kita hendak mengikuti jejak syurga atau jejak neraka...

Pilih dan ikutlah jalan ke syurga sebagaimana yang disenaraikan di bawah:

-beramal semasa muda lagi
-bertolong-tolongan kerana Allah
-jauhi diri dan keluarga dari zina
-mendidik anak kewajipan beragama
-mendirikan solat wajib dan sunat
-bertahajjud di tengah malam
-menangis dan menginsafi diri kerana takut akan ALlah
-bersedekah, menderma dan berwakaf secara senyap
-berpaut hati pada masjid
-sentiasa belajar hal-ehwal agama
-sembahyang berjemaah
-selalu berada di tempat pengajian agama
-menziarahi orang sakit
-mengiringi mayat hingga ke kubur
-mengadakan khenduri cara Islam
-mendamaikan pergaduhan
-menolong anak yatim dan miskin
-dan lain-lain perkara kebajikan.

Pada masa yang sama hindarilah jejak neraka yang disenaraikan di bawah:

-tidak mengajar anak hal-hal keagamaan
-kaya tapi bakhil
-menipu
-mengambil arak, dadah dan yang memabukkan
-mengadakan majlis maksiat
-berzina
-memakan harta anak yatim
-meringankan sembahyang
-tidak mengeluarkan zakat
-panjang angan-angan dan tak mahu bertaubat
-meninggalkan sembahyang
-durhaka kepada ibu bapa
-berbuat fitnah
-suami dayus (membebaskan isteri)
-ibu bapa dayus (membebaskan anak)
-makan harta haram
-berbohong dan berdusta
-menggunakan sihir
-dengki dan khianat

Sementara kita diberi peluang oleh Allah untuk memilih jalan yang menentukan nasib kita pada masa hadapan, marilah sama-sama kita saling bantu-membantu menegakkan amar makruf dan nahi mungkar yang dewasa ini sudah kurang berfungsi dan tidak diberi keutamaan lagi.

KETAWA DI DUNIA MENANGIS DI AKHIRAT



Dalam satu hadith, Nabi saw bersabda
"Banyak tertawa dan tergelak-gelak itu mematikan hati".
Banyak tertawa menjadikan hati semakin malap dan tidak berseri. Lampu hati tidak bersinar dan akhirnya terus tidak menyala. Hati tidak berfungsi lagi.

Nabi Muhammad melarang ummatnya dari gelak-ketawa yang melampuai batas. Menurut hadith, banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu. Barangsiapa ketawa tergelak-gelak, akan hilang satu pintu daripada pintu ilmu.

Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah? Dalam keadaan suka yang keterlaluan, hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzakh yang bakal kita tempuhi kelak. Sedangkan dahsyatnya alam tersebut tidak dapat dinukilkan dalam sebarang bentuk media. Kita sedang menuju ke satu destinasi yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan abadi. Sepatutnya kita berfikir bagaimana kedudukan kita di sana nanti, sama ada bahagia atau derita. Berbahagia di dunia bersifat sementara tetapi di akhirat berpanjangan tanpa had. Penderitaan di dunia hanya seketika tetapi di akhirat azab yang berterusan dan berkekalan. Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab diri serta menyedarkan diri kita tentang bahaya yang akan ditempuh.
"Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur". Demikian ditegaskan oleh Nabi saw. Kita sedia maklum, kuburia lah rumah yang bakal kita duduki dalam tempoh yang panjang. Kita keseorangan dan kesunyian tanpa teman dan keluarga. Kubur adalah satu pintu ke syurga atau neraka. Betapa dalam kegelapan di sana, kita digelapkan lagi dengan sikap kita yang suka terbahak-bahak di dunia.

Ketawa yang melampaui batas menjadikan kita kurang berilmu. Apabila kurang ilmu, akal turun menjadi kurang. Kepekaan terhadap akhirat juga menurun. Nabi saw pernah bersabda: "Barangsiapa tertawa-tawa nescaya melaknat akan dia oleh Allah (Al-Jabbar). Mereka yang banyak tertawadi dunia nescaya banyak menangis di akhirat."


Saidina Ali sentiasa mengeluh '....jauhnya perjalanan ... sedikitnya bekalan ....' Walaupun hebat zuhud dan ibadat beliau, namun merasakan masih kurang lagi amalannya. Betapa kita yang kerdil dan malas beribadat ini sanggup bergembira 24 jam.

Dalam hadith lain, Nabi saw bersabda "Barangsiapa banyak tertawa-tawa, nescaya meringankan oleh api neraka. "Maksudnya mudah dimasukkan ke dalam neraka".

Kita tidak pula dilarang menunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu. Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa yang berlebihan. Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Nabi saw. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat.

Para sahabat pernah berkata "Ketawa segala nabi ialah tersenyum, tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak."

Friday, March 6, 2009

MUSLIMAH SEJATI...




Muslimah Islam..
Beginilah jalanmu..
Tundukkanlah pandanganmu..
Keraskanlah suaramu..
Seriuskanlah perwatakanmu..
Tampilkan ketegasanmu..
Bila engkau di depan atau di belakang..
Atau di kiri atau di kanan lelaki..
Walau atas apa alasan sekalipun..
Ketuk keegoan mereka..
Bangkitkan mereka dari mimpi..
Jelaskan dengan amalmu..
Bahawa percampuran bukan caranya..
Bahawa keseronokan adalah palsu..
Bahawa di sini tiada kebahagiaan..
Hanya kehancuran..

Andaikan engkau belum berkahwin..
Ingatlah janji tuhan..
Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik..
Jangan menggadaikan maruahmu semata-mata..
Kerana seorang lelaki..
Jangan memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuhmu..
Hanya untuk menarik perhatian dan memikat kaum lelaki..
Kerana engkau bukan memancing hatinya tetapi merangsang nafsunya..

Muslimin yang baik tidak melihat paras rupa..
Muslimin yang soleh tidak memilih wanita yang terdedah auratnya..
Muslimin yang warak tidak memilih wanita melalui keayuan dan kemanjaannya..
Serta kemampuan menggoncang iman mereka..
Tapi, muslimin yang baik menilai wanita melalui akhlaknya..